Pertama :
Pembukuan di zaman Rasulullah S.A.W.Al Quran ditulis oleh penulis-penulis wahyu dengan arahan daripada Rasulullah S.A.W. Ianya ditulis di atas pelepah tamar, kulit binatang, tulang-tulang dan batu secara tersusun mengikut wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Ia belum lagi dihimpunkan di dalam satu mushaf. Terdapat juga sebahagian dari para sahabat menulis beberapa juzuk dan surah yang tertentu mengikut apa yang mereka hafal daripada Rasulullah S.A.W.
Kedua :
Pembukuan di zaman Abu Bakar As Siddiq. Usaha pengumpulan ini dijalankan oleh Zaid Bin Thabit di atas arahan Saidina Abu Bakar dengan persepakatan bersama Saidina Omar Bin Al Khattab. Sumbernya ialah hasil tulisan penulis-penulis wahyu Rasulullah S.A.W sehingga mereka dapat mengumpulkannya dan dijadikan satu mushaf.
Ketiga :
Pembukuan di zaman Saidina Osman Bin 'Affan.Al Quran yang pertama ditulis mengikut naskhah yang terdapat pada Hafsah Bt. Omar. Naskhah ini adalah hasil usaha yang dibuat oleh Saidina Abu Bakar. Di dalam pembukuan ini beliau memelihara perbezaan bacaan yang berlaku ketika itu dan beliau mempertanggungjawabkan Zaid Bin Thabit, Abdullah Bin Zubair, Sa'ad Bin Al'as dan Abd. Rahman Bin Al Haris Bin Hisham bagi menjayakan usaha yang mulia ini. Pada ketika itu belum lagi dimasukkan titik dan dibariskan hurufnya. Saidina Osman Bin 'Affan menyimpan senaskhah daripadanya dan bakinya dihantar ke seluruh pelusuk dunia Islam.
Keempat :
Meletakkan tanda titik dan baris pada huruf melalui tiga peringkat :-
1: Tanda titik mula diletakkan pada zaman Khalifah Mu'awiyah Bin Abu Sufyan yang telah memerintahkan Abul Aswad Ad Duali di dalam menguruskan tugas tersebut demi untuk memelihara dari berlakunya kesalahan di dalam bacaan Al Quran.
2: Titik diletakkan untuk membezakan huruf antara satu sama lain (ب ت ث ) di zaman pemerintahan Abdul Malik Bin Marwan yang telah memerintahkan Al Hajjaj Bin Yusof untuk menguruskannya. Maka Al Hajjaj telah memerintahkan Nasir Bin 'Asim dan Yahya Bin Ya'mar untuk melaksanakan tugas tersebut.
3: Al Khalil Bin Ahmad Al Farahidi telah meletakkan tanda baru iaitu huruf Waw kecil di atas untuk tanda baris hadapan, huruf Alif kecil untuk tanda baris atas, huruf Ya' kecil untuk tanda baris bawah, huruf Ha' untuk tanda sukun dan kepala 'Ain untuk Hamzah.

0 comments:
Post a Comment